Pages

Wednesday, September 23, 2009

Ulasan Pasaran: Prestasi saham akan lebih tinggi..amien

PRESTASI saham di Bursa Malaysia minggu ini dijangka bergerak lebih tinggi dengan unjuran aliran harga meningkat dalam pasaran ekuiti global.

Penganalisis teknikal MIMB Investment Bank, Nazri Khan, berkata pasaran kini cergas, dengan sasaran serta-merta Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) pada paras 1,250.

“Prestasi keseluruhan yang kini menunjukkan aliran harga meningkat dalam pasaran global, akan memacu sentimen di bursa tempatan,” kata Khan.


Khan berkata tanda-tanda kemelesetan ekonomi global sudah berakhir, semakin meningkat, yang akan merangsang sentimen di pasaran global.


Walaupun Bursa Malaysia akan menyaksikan hari dagangan yang singkat minggu ini berikutan cuti Aidilfitri, Khan berkata aliran pasaran yang meningkat, masih kukuh.

“Anak-anak lembu jantan akan muncul dan mula berlari (pasaran akan mula meningkat) di pasaran tempatan memandangkan kekuatan menyeluruh dalam saham Asia seperti Indeks Bursa Saham Bombay, Sensex, akan menjadi pemangkin,” kata Khan.

Beliau berkata meskipun terdapat banyak pembetulan, pelabur wajar mula mengumpul saham untuk kedudukan jangka panjang berdasarkan potensi peningkatan menjelang akhir tahun.

Saham Asia meningkat ke paras tinggi baharu pada Khamis, dengan pasaran saham di Hong Kong dan Korea Selatan melonjak ke tahap tertinggi baharu selepas aliran harga meningkat saham Amerika Syarikat susulan data ekonomi yang positif serta keyakinan yang meningkat terhadap pemulihan ekonomi global.

Harga saham di Bursa Malaysia juga kebanyakannya tinggi pada minggu yang baru berakhir.

Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh 52 minggu kepada 1,218 pada Khamis berikutan aliran meningkat di Amerika Syarikat dan Asia.

Saham di Bursa Malaysia mengakhiri minggu lalu pada paras yang tinggi, dengan FBM KLCI meningkat 2.4 mata kepada 1,221.20, paras tertinggi sejak 30 Jun, 2008.

Mengikut perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI ditutup 12.92 mata lebih tinggi pada 1,221.20 manakala Indeks FBM Emas melonjak 102.11 mata kepada 8,224.88.

Indeks FBM Top 100 menokok 102.57 mata kepada 8,017.07, FBM 70 menambah 174.28 mata kepada 8,156.62 manakala Indeks FBM ACE meningkat 9.36 mata kepada 4,089.1.

Indeks Kewangan melonjak 167.36 mata kepada 10,017.25, Indeks Perladangan meningkat 2.9 mata kepada 5,957.28 dan Indeks Perusahaan menokok 20.85 mata kepada 2,660.52.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.551 bilion saham bernilai RM5.65 bilion berbanding 3.313 bilion saham bernilai RM5.717 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.175 bilion saham bernilai RM5.568 bilion berbanding 2.815 bilion saham bernilai RM5.579 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 218.489 juta saham bernilai RM45.694 juta berbanding 267.363 juta saham bernilai RM64.459 juta minggu lalu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 135.118 juta unit bernilai RM31.927 juta berbanding 204.205 juta unit bernilai RM61.759 juta tahun sebelumnya. - Bernama

No comments: